Thursday 29 December 2011

percintaan ini

Masih terbayang di ruangan mataku
Saat indah bersamamu dulu
Masihku ingat janji manismu
Bertakhta di hatiku
Oo oo oo

Di kala itu engkau lah bintang
Menyuluh malam yang kegelapan
Tetapi kini tiada lagi
Tinggal aku sendiri

Percintaan ini amat memilukan
Perpisahan ini sungguh menyakitkan
Namun apa daya terpaksa ku telan semua kepahitan

Kepiluan ini meracun hidupku
Kesunyian ini membunuh jiwaku
Tergamak kau sayang
Melihat diriku dalam kesedihan
Dipermainkan olehmu

Sia–sia saja percintaan ini
Tak bisa sampai ke puncaknya
Sekelip mata hilang semuanya
Yang tinggal hanya airmata

Oo oo oo

Percintaan ini amat memilukan
Perpisahan ini sungguh menyakitkan
Namun apa daya terpaksa ku telan semua kepahitan

Kepiluan ini meracun hidupku
Kesunyian ini membunuh jiwaku
Tergamak kau sayang
Melihat diriku dalam kesedihan
Dipermainkan olehmu

Sia–sia saja percintaan ini
Tak bisa sampai ke puncaknya
Sekelip mata hilang semuanya
Yang tinggal hanya airmata

Oo oo oo


okay. bukan hendak berkongsi idea dan pendapat untuk hari ini. tetapi untuk meluahkan rasa yang lama sangat terpendam. entah kenapa? aku sendiri sedih bila mengenangkan kembali perkara-perkara sebigini. aku sendiri tidak tahu kenapa aku terlalu meletakkan harapan yang terlalu tinggi. dan kemudian, harapan ini pergi bersama dia. dan kini aku pasti. ia telah berakhir. walau sederas manapun air mata yang mengalir, perkara yang diimpikan memang tak akan pernah terjadi.

ya Allah. tolonglah hamba-Mu. tolonglah jauhkan perasaan ini. aku tidak tahu. apa yang telah berlaku keatas diriku. tuhan, jika benar dia bukan milikku berilah aku tanda. kenapa aku masih mencari dirinya?kenapa aku masih bertanya tentang dirinya. aku tahu, ini tidak sepatutnya berlaku. ini tidak sepatutnya terjadi. tapi aku tidak dapat merubah yang telah terjadi. aku hanya mampu merencana yang akan datang. 

jika aku mampu memutarkan kembali masa lalu. aku tidak akan membiarkan hati ini terluka kerananya. aku tidak akan membiarkan hati ini menerima dirinya. tetapi itu semua hanyalah angan dan mimpi. bila kusedar kembali, semua itu telah pun berlaku. hanya apa yang aku harap. tolonglah. tolonglah. engkau memberikan satu sebab dan alasan. mengapa engkau memilih untuk menyayangi aku? dan apabila aku telah mula mempercayai engkau. engkau membuat keputusan untuk pergi. 

aku bukan patung untuk engkau permainkan. aku bukan orang yang tiada perasaan. yang tidak tahu erti sakit hati dan kecewa. aku memiliki kesemua perasaan itu. untuk menyayangi seseorang itu, hanya memerlukan satu jam sahaja, tapi untuk melupakannya, barangkali mengambil masa seumur hidupnya. dan sekarang aku akui. ya, aku masih teringat akan engkau. setiap janji manismu. setiap tingkah lakumu. bantulah aku, untuk melupakan dirimu. hanya itu yang aku pinta darimu. 

mood: benar-benar terseksa sekarang. 
says: tiada lagi janji yang mungkin boleh dipecayai.

Wednesday 28 December 2011

ia telah pergi

okay. aku duduk bersila. menatap lappy yang boleh membutakan mata dan hati aku. sekarang baru ada kelapangan mahu meng'update' entri aku. entah. mungkin kerana kesibukkan dunia yang teramat sangat sehingga aku tiada masa untuk meluahkan pendapat dan cerita aku disini. hanya mahu berkongsi sekali lagi luahan dan keluhan hati yang kerdil ini. 

saat aku sedang leka menonton televisyen diruang tamu rumahku. kedengaran riuh rendah. tiba-tiba namaku dipanggil dari bahagian dapur rumahku. Ya Rabb. aku melihat dia sudah terkulai layu. tiada tenaga lagi. sudah terbaring lemah. lagak seperti mahu meninggal dunia. janganlah pergi. janganlah pergi. hati kecilku merintih perlahan. kenapa? terlalu muda untuk membenarkan dia pergi. tolonglah. aku tidak sanggup melihat keadaannya yang sedang nazak itu. nafasnya sudah semakin pendek. matanya sudah semakin kuyu. entah dia masih ingat pada aku ataupun tidak. ouh! barangkali dia sedang menahan sakit. 

kini, hanya tinggal masa untuk melihat dia menjadi kaku. tiada lagi dapat aku melihat dia. berlari kesana kemari. bergurau senda. cuba membuat aku marah dan menjentik telinganya. semua itu tinggal kenangan. tidak sempat aku mahu menyambut tahun baru dengan dirinya. dia telah pergi untuk selamanya. selamat tinggal. hanya itu ucapan yang mampu aku ucapkan. 

tepat jam 2.00 petang. tubuh badannya sudah mula dimasukkan kedalam tanah. kemana lagi akan kamu dikembalikan jika bukan kedalam tanah? itulah kata keramat yang pernah aku dengar suatu ketika dahulu. dan kini, benarlah. aku melihat dengan perasaan yang pilu saat dia dikambus tanah. hatiku sesekali berkata kasihan. begitu teruk penyakitnya sehingga membawa maut. belum puas aku bersamanya dia sudah pergi meninggalkan aku untuk selamanya. tegar benar hatinya. kata emakku, inilah lumrah alam. yang hidup itu pasti.
aku mengesat air mataku yang sudah mengalir tanpa henti. 

itulah kucing tersayangku. C-L-O-U-D pemergiannya benar-benar dirasa. maafkan aku kerana tidak dapat menemanimu

Wednesday 14 December 2011

perahu dunia



aku melontar pandang jauh diluar jendela. mataku tidak berkelip laju. memandang sepi titisan-titisan air hujan yang sudah mula membasahi perut bumi. jarum jam tepat menunjukkan pukul 12.00 tengah hari. tapi hujan, tiada tanda-tanda untuk berhenti. semakin lebat pula. hampir sama juga keadaannya dengan hatiku ini. terlalu dingin sedingin salju. susah hendak digambarkan apatah lagi mahu dibicarakan.

entah kenapa. mutakhir ini, ada sahaja perkara yang terjadi. mengakibatkan kepalaku juga turut berserabut. barangkali kerana terlalu memikirkannya. ataupun kerana aku sendiri tiada masa untuk melapangkan fikiran. apa yang telah terjadi untuk beberapa hari ini. benar-benar mengejutkan perasaan nurani wanitaku. tersentap dan kaget dengan apa yang terjadi. lidah ini kelu dalam memberikan kata-kata. tidak tahu apa yang sebenarnya telah terjadi. tetapi, aku kuatkan hati. tabahkan semangat.

bukan mahu mengaibkan sesiapa. tetapi cerita ini aku mahu jadikan iktibar kepada yang lainnya. kisah seorang wanita yang hilang 'mahkota sucinya'. bukan kerana keterpaksaan. tetapi kerana rela hatinya. jika dilihat dan dihitung kira, apakah pandangan kamu semua terhadap wanita ini? mahukah anda mengabaikannya? mungkin ada diantara kamu beranggapan bahawa perempuan ini tiada harga diri, kerana itulah dia boleh terjebak dalam perkara ini. mungkin juga akan ada yang berbicara seperti ini, perempuan zaman sekarang. memang sudah tidak ada perasaan malu. hendak dibuat bagaimana lagi.

bila perkara tidak terjadi kepada batang hidung sendiri, kita akan mudah untuk berkata-kata. sewenang-wenangnya kita akan menghamburkan kata-kata yang barangkali menyakiti hati wanita itu. pernahkah kita fikir, jika kita menyakiti hati yang lainnya. maka ia juga akan dianggap berdosa? berbalik kepada kisah tauladan ini. memang benarlah kata orang tua-tua. jika mahu berbau wangi mengapa tidak berkawan dengan si penjual minyak wangi? tetapi seandainya, kita asyik mahu berkawan dengan penjual minyak wangi sahaja, bagaimana dengan si pembuat tembaga? siapa yang mahu mendekatinya jika semua mahu bersama penjual minyak wangi? begitulah ibaratnya. jika tiada siapa yang mahu menyedarkan wanita itu, siapa lagi?

maka layakkah kita hendak menilai seseorang itu terhadap apa yang telah dikerjakannya. memang sudah terang lagi bersuluh bahawa berzina itu berdosa besar. tetapi berkawan dengan penzina untuk mengajaknya kembali kejalan yang benar, apakah dikira berdosa juga? niat aku, hanya mahu bercerita dan berkongsi pendapat. bukan mahu mencari permusuhan dan perbalahan. apakah salah jika kita mendekatinya untuk memberikan sokongan hidup? sudahlah diabaikan oleh keluarga, juga disisihkan oleh masyarakat. maka, kepada siapa lagi dia mahu merujuk jika bukan kenalan-kenalannya.

aku tahu, dia sudah dipandang hina dan dipandang serong. tetapi jika dia tiada hala tuju hidupnya. dan bertanya kepada kamu apa yang harus dilakukan saat ini? apakah kamu akan melarikan diri? kerana apa? kerana dirinya sudah kotor? kerana dirinya tidak sesuci kamu? bagi aku, tidak ada salahnya jika kita membantu dia untuk berubah. benar kita tidak boleh mengembalikan keadaan yang dahulu. tetapi untuk menjalani hari esok, hari ini adalah pengajarannya. tidakkah engkau semua terfikir seperti itu? kerana ada orang sepertinya ia menjadi iktibar kepada kita. dan menjadi kesedaran kepada kita untuk terus berada dalam landasan yang benar.

hanya mahu dikatakan disini. setiap apa yang terjadi pasti sudah ada sebab dan musababnya. apa yang terjadi ini ambillah ia sebagai tauladan untuk kita meneruskan hari esok. ambillah ia untuk kita membuka mata dan minda kita tentang halal dan haramnya. tentang dosa dan pahalanya. tentang syurga dan nerakanya. mungkin juga yang terjadi pada dirinya itu memberi pengajaran untuk aku. yang sesekali leka dan khayal oleh arus dunia. bukan aku mahu kata, aku ini malaikat. membantu sesiapa sahaja yang memerlukan. hendak menunjuk yang aku ini punya kebaikan yang tiada siapa pun milikinya. bukan kerana itu. aku menjadi seperti ini kerana sifat ihsan aku sebagai seorang kawan. hari ini hari dia. jika suatu hari nanti hari kita? siapa yang mahu membantu?

hidup ini ada karmanya. kerana dunia ini bulat. dimana anda berada, anda akan kembali pada yang asalnya. aku bukanlah orang yang kuat agamanya. sesekali aku juga termakan hawa nafsunya. tetapi aku sengaja mahu menyedarkan diri aku dan yang lainnya dengan menulis entri ini. untuk sama-sama kita fikirkan. dimanakah kita sebenarnya? jalan yang mana kita pilih sebenarnya? apakah kita juga sudah tergelincir dari landasan-Nya?

oleh kerana, perkara ini sudah terjadi. tidak boleh berputar kembali. kerana nasi sudah menjadi bubur. kerana itu, aku berfikir selalu. jika perkara seperti ini sudah berlaku. masing-masing mahu lepas tangan. saat gembira mahu sama-sama. bila sudah jadi. saling menuduh antara satu sama lain. yang si lelaki tuduh wanitanya. yang si wanita tuduh lelakinya. jika difikirkan kembali siapa yang salah sebenarnya, lelaki ataupun perempuan? bagi aku, kedua-duanya salah. kerana apa? ia bermula dengan akal dan nafsu. jika kedua-duanya tidak menggunakan akal dalam sesuatu perhubungan itu, maka beginilah jadinya. kerana akallah yang menetapkan segala perlakuan kita. kerana akallah yang akan menjadikan kita teguh berdiri dengan akidah kita. tetapi jika nafsu yang mengawal akal, maka setiap perkara yang ditegah oleh Allah itu akan kita laksanakan.

jadi untuk berubah itu, aku tahu tidak mudah. seperti ejaannya. B E R U B A H. aku tahu. ia memakan masa yang agak panjang untuk mendapat hasilnya. tetapi jika percaya yang kita mampu, maka hasilnya itu akan ada. seperti kita percaya pada kewujudan angin. pernahkah anda melihat angin? tidak pernahkan. tetapi anda dapat merasainya. dan paling penting anda percaya pada kewujudan angin tersebut. begitu jugalah konsepnya, jika anda mahukan sesuatu perubahan itu. percaya pada diri sendiri. bahawa engkau boleh berubah kepada yang lebih baik. maka akan ada hasilnya nanti. percaya jugalah kepada pencipta alam ini, yang sentiasa akan membantu hamba-hambaNya dalam membina kebaikan. insya Allah. segalanya akan berubah kerana perubahan itu bermula dari dalam diri sendiri. tidak siapa dapat membantunya. hanya dapat memberi sokongan dan nasihat sahaja. tetapi jika engkau sendiri tidak sertakannya dengan tindakan ia tidak akan ada hasilnya. samalah juga konsepnya seperti pohon yang berbuah. jika engkau mahu pokok itu berbuah, tetapi engkau tidak menjaganya dengan baik seperti menggemburkan tanahnya sekali-sekala, menabur baja serta menyiramnya. maka tidak akan ada hasilnya.

bukan mahu mengkritik dan mengutuk sesiapa. tetapi untuk menjadikan sesuatu kebaikan itu dalam diri kita sememangnya sukar. aku sendiri mengakuinya. tetapi jika kebaikan tidak mengatasi keburukan itu. maka perubahan itu tidak akan berlaku. sekadar berniat untuk berubah, tetapi tidak dengan tindakannya juga tiada gunanya. oleh itu, bermulalah dari yang kecil, barulah kita mahu melihat perubahan yang lebih besar. bila kita sudah ada keinsafan dan kesedaran itu juga akan membantu kita dalam proses untuk berubah. itulah yang dikatakan bermula dari yang kecil. percaya pada diri dan yakin pada Allah. sesungguhnya, tiada apa yang dapat menandingi kekuasaanNya. jika Allah kata jadi, maka jadilah ia.

Sunday 11 December 2011

hanya jambatan


apakah yang anda dapat tafsirkan berdasarkan gambar diatas? bagaimanakah tafsiran yang anda lakukan itu? sebuah jambatan yang sangat panjang. dihiasi dengan neon-neon jalanan. merentasi lautan yang sangat luas. tapi berakhir dimana? adakah anda tahu?

entri kali ini sekadar luahan dari hati sahaja. aku tidaklah sehebat mana. tetapi apabila aku melihat gambar ini. aku terfikir dan mula mencari. berfikir tentang apa? tentang jalan hidup kita. lebih spesifik manusia ataupun orang. lebih dikenali sebagai penetap bumi yang mulia yang diciptakan oleh Allah S.W.T. bukan niat aku mahu bersyarah ataupun membebel lagak seorang yang berilmu tinggi. tapi hanya untuk berkongsi pendapat dan luahan. andai ada yang terasa, maafkanlah aku kerana menulis entri ini. 

apa yang terlintas difikiran aku adalah sebuah perjalanan hidup kita sebagai hamba. dari satu titik kepada satu titik. seperti gambar diatas. jambatan atau titian. hidup didunia ini, tidaklah kekal abadi. hidup didunia ini, cuma jambatan untuk dititi menuju alam selepas ini. alam akhirat. timbalah sebanyak mana ilmu, dan amalkanlah ilmu itu. kerana ia akan menjadi bekalan diakhirat kelak. 

bila diimbas kembali. hidup aku. aku terasa masih jauh lagi aku kepada-Nya. tidakkah anda juga begitu? bila aku menatap kembali gambar 'jambatan' itu. fikiranku ligat berfikir. terlalu banyak dugaan dan cabaran dalam menyelusuri lembah itu. ada dua jalan. iaitu, jalan yang sempit dan jalan yang luas. andai itu adalah pilihan. yang mana satukah yang anda akan lalui? sudah pasti anda mahu menyelusuri jalan yang luas itu bukan? jika aku, juga ya. siapa yang mahu menyelusuri jalan yang sempit itu. sudahlah susah pula. 

akan tetapi, pernah diceritakan kepada aku oleh seorang hamba Allah juga. hendak dikatakan ustaz bukan. hendak dikatakan ahli surau juga bukan. pakaian sangat mudah. seluar track lusuh dan ditubuhnya tersarun baju t-shirt berwarna putih. tiada kopiah mahupun songkok yang menutup kepalanya. dia berkata, sesungguhnya jalan yang sempit itulah yang membawa kepada kebahagiaan akhirat sana. sedangkan jalan yang luas itu, hanya kebahagiaan yang sementara. apakah benar,kata orang tua ini? jika mahu difikirkan dengan logiknya, benarlah juga. kerana jika kita hendak mendapatkan sesuatu, pasti banyak yang perlu kita lakukan bukan? misalnya, kita teringin sekali makan tempoyak. pasti kita akan mencari durian dahulu, kemudian kita akan memeramnya atau menapainya. setelah cukup lama masa menapainya, barulah kita memasaknya. 

jadi, apa yang disampaikan oleh orang tua berbaju putih itu. ada benarnya. bila aku fikir kembali. dunia. memang penuh dengan pancarobanya. jika kita lihat sekeliling sahaja. sudah kita tahu, dunia apakah ini. semakin kurang anak remaja zaman sekarang yang berpegang teguh dengan akidah dan agama islam. barangkali agama islam itu hanya pada kad pengenalan dirinya sahaja. hal ini dapat dilihat dalam keruntuhan akhlak dan moral. kerana berlaku gejala yang tidak sihat. misalnya, merempit, melepak, dadah dan sebagainya. astaghfirullahalazim. bukan mahu mengutuk, tetapi telah dikhabarkan dan dianalisa. kebanyakkan yang terlibat dalam gejala-gelaja ini adalah dari kaum melayu yang beragama Islam. benarlah kata seorang pemimpin kita dahulu. kita akan kembali seperti zaman jahiliah. tidak mustahil kerana sudah ada tanda-tandanya. bagaimana mahu membendungnya? sama-samalah fikirkan. 

aku bukan hendak menyakiti hati sesiapa. tetapi entri ini aku tulis, kerana aku telah membaca sebuah buku berkaitan dengan kaum melayu. beragama islam. pabila aku kaji semula. benarlah kata-kata penulis itu. melayu semakin lemah. bukan kerana apa. kerana salah dirinya yang tidak mahu mencari ilmu dan mengamalkannya. masa mudanya habis disia-siakan. apa bekalan untuk hari akhirat? beerti jambatan yang dilaluinya itu tiada guna buat dirinya. kerana tidak mencuba sebaik yang mungkin untuk mencari bekalan dihari akhirat. sudah diberitahu bahawa hidup kita didunia ini ibarat jambatan dan titian untuk melangkah ke hari akhirat. setiap amalan kita akan dihisab di padang Mahsyar. 

bukan dengan diatas sejadah sahaja yang dipanggil ibadah. bukankah dengan mencari ilmu dan beramal terhadap ilmu itu juga satu ibadah? jadi dalam mengejar akhirat kita juga sudah mendapat yang ada didunia. pernah aku mendengar pepatah ini, jika kita mengejar akhirat, dunia akan mengejar kita. tetapi jika kita mengejar dunia, akhirat akan meninggalkan kita. bermaksud, dalam kita mencari bekalan untuk akhirat, kita juga sudah mendapat ilmu untuk kegunaan didunia. Nabi Muhammad S.A.W dalam satu sabdanya menegaskan: "Barangsiapa yang menjalani satu jalan untuk menuntut ilmu, necaya Allah akan memudahkan baginya satu jalan menuju Syurga..."

"perbalahan soal ritual dan tertutupnya minda, terhadap kepentingan menguasai kedua-dua ilmu wahyu dan ilmu duniawi hanya akan melemahkan kita." itulah yang disampaikan oleh perdana menteri kita. maka disini telah menunjukkan bahawa kepentingan ilmu itu sangatlah penting. tetapi jika masa muda kita hanya dihabiskan dengan enjoy. apakah bekalan yang hendak kita bawa di masa tua? dan yang lebih penting lagi di akhirat sana. pernah aku mendengar anak-anak muda selalu menjawab begini. "alahai, relax lah. muda lagi kott. nanti dah tua baru lah bertaubat." bagi aku, kalau engkau semua sempatlah kan TUA. jika tak sempat? macam mana? bak kata Nabil, lu pikirlah sendiri. jadi untuk dijadikan bekalan, perlulah bermulanya sekarang. tiada siapa yang akan mengubah kaum itu jika kaum itu tidak mengubah keadaan mereka sendiri. jika anda hendak mengubah dunia, anda perlu mengubah diri anda sendiri. it is start with yourself. 

bukan hendak cuba berlagak tahu segalanya. sekadar berkongsi dan menyampaikan sahaja. aku tahu tidak mudah untuk kita berubah. ia akan mengambil masa yang agak panjang. tetapi yankinlah, jika sudah ada niat untuk berubah, maka semuanya akan dipermudahkan.  InsyaAllah. jika Allah kata jadi, maka jadilah ia. entri ini juga sekadar peringatan buat diri aku yang hanya hamba-Nya. tidak lepas juga dari berbuat khilaf dan dosa. akan tetapi selagi ada kesedaran untuk membaiki diri kearah yang lebih baik. itu juga satu langkah untuk berubah.

Friday 9 December 2011

teman sejati




terpegun sendiri sambil menatap indah kenangan lalu. membiarkan diri terus hanyut dalam sejarah silam yang lalu. membuka kembali sejarah pahit, yang sepatutnya disemadikan pada saat lalu. tapi aku masih menyimpannya rapi, dalam sebuah kotak rahsiaku. aku kembali selongkar, ingin mencicip kembali yang telah terjadi. tanpa kuduga, ya Allah. air mataku merembes keluar. empangan yang kubina selama ini pecah juga. rupanya aku tidaklah sekuat mana. hatiku masih lagi tersentuh dek kenangan lalu. apakah semua ini?

aku menatap satu persatu. setiap pemberiannya masih aku simpan. jantungku berdetak laju tatkala jari jemariku membuka satu lipatan. mataku tertancap terhadap setiap kalam tulisannya. ya Allah, sungguh aku masih tidak dapat melupakan dirinya. mengapakah? setiap nasihatnya tertera diatas sehelai kertas yang putih suci itu. masih kufaham setiap ejaannya walaupun didalam kalam tulisan jawinya. 

tanganku beralih mengambil sekeping gambar lama. melihatkan keadaan itu. air mataku tidak mahu berhenti mengalir. Ya Rabb. tempatkanlah dia bersama-sama orang yang soleh dan solehah. sungguh hanya itu yang mampu aku lakukan. maafkan aku. maafkan aku sahabat. selama aku mengenalimu, mungkin aku pernah mengguris hatimu. bukan niatku, sahabat. aku benar-benar terasa atas pemergianmu. mencari pengganti seperti dirimu tidaklah begitu mudah buat aku. 

tapi tidak aku lupa. setiap kata-katamu. setiap tingkah lakumu. setiap nasihatmu. masih segar dalam memoriku. moga engkau tenang dan abadi disana. akan kuselalu titipkan AL-FATIHAH buatmu. sungguh aku merindui engkau sehingga kini. sungguh dendangan lagu Teman Sejati yang engkau hadiahkan suatu masa dahulu masih segar dalam ingatan kudusku. aku masih mengharap, akan berjumpa lagi seorang sahabat seperti engkau. 

apa yang aku mampu lakukan kini, hanya mengingati engkau dalam setiap doaku. meminta pada-Nya agar urusan engkau disana dipermudahkan oleh Yang Maha Esa. semoga persahabatan kita kekal dalam keredaan-Nya. aku jua akan turut menemanimu suatu hari nanti. itu aku pasti, hanya tidak tahu bila. sekali lagi aku mengucapkan terima kasih atas perkenalan kita. sungguh aku masih tidak dapat melupakan engkau. maafkan aku, kerana tidak dapat menunaikan hasrat engkau itu. walaupun aku tidak pernah menjengah pusaramu, tapi ingatlah doaku sentiasa mengiringi persahabatan kita. sentiasa merinduimu.

Thursday 1 December 2011

pasrah




masih terkilan. terkaku dan terpaku. perlukah itu yang engkau tanya pada aku? soalan apakah itu. mungkin bagi engkau itu sekadar satu perkataan. tapi bagi aku ia seperti dihiris sembilu, ditabur lada. apakah tidak engkau mengerti hati seorang wanita. apakah dengan perkara yang seperti itu mampu membuat engkau bahagia untuk selamanya. bukan aku hendak mendoakan keburukan keatas engkau. tetapi kenapa kejahilan yang engkau serlahkan hadapan orang ramai. 

perlukah aku menerangkan duduknya perkara sebenar? pada hakikatnya, perbuatan itu akan mengundang satu perkelahian. salah aku kah? aku tidak meminta apa-apa yang lebih dari engkau, tetapi aku hanya meminta satu kepastian dari engkau. mengapa dan kenapa? aku tidak pernah mengenali engkau, apatah lagi hendak mengusik engkau. tapi, inikah balasan yang aku peroleh. apakah dosa yang pernah aku buat pada engkau? semua ini tidak masuk akal, tahu? 

kalau gunung berapi boleh memuntakan lavanya, air laut boleh meninggikan ombaknya menjadi tsunami. angin boleh berputar menjadi ribut dan taufan. apatah lagi aku, yang hanya manusia biasa yang punya sifat kerdil dan kamil. benarlah kata Dr.M dan NTR. orang melayu tidak berhabisan akan mengutuk, mengumpat saling memfitnah sesama sendiri demi kepentingan diri sendiri. apakah semua itu berbaloi? fikirlah semula. tolonglah, fikir dan fahamkanlah. 

aku tidak mahu apa-apa dari kamu. hanya kejujuran dan ketelusan. hentikan semua ini. jangan menambahkah lagi kekusutan. jika engkau telah ditakdirkan bersama dia. akan adalah harinya nanti. bukan aku yang menentukan segalanya. Dia diatas sana. yang merancang qada' dan qadar serta menentukan. cukuplah sekadar engkau memahami dan mendalami rukun iman yang keenam ini. engkau akan sedar segalanya. bukan saling menyalahkan antara satu sama lain. itu langsung tidak akan menyelesaikan masalah mahupun pertentangan dan permusuhan. 

Sunday 27 November 2011

engkau




aku merenung luas melepasi jendela kamarku. menatap senyap keindahan ilahi. Subhanallah. cantik sekali. terpaku. tergamam. titisan-titisan air membasahi perut bumi sekali lagi. jam menunjukkan sudah pukul 4 petang. beginilah musim tengkujuh. sejuk dan mendamaikan. namun, ada beberapa negeri yang diuji Tuhan. bah yang menimpa dinegeri-negeri itu, sesekali menjadu dugaan kepada warganegaranya. apa yang termampu aku lakukan adalah mendoakan keselamatan mereka. Insyaallah.

aku menongkat dagu. mencari segenap ruang untuk diriku sendiri. hujan yang turun, tidak memberikan tanda-tanda untuk berhenti. semakin lebat cuaca hari ini. menemankan aku yang kesepian. puncanya? aku masih mencari. lagu 'Kisah Dogeng' nyanyian Stacy benar-benar menyentuh perasaanku. menyentuh batin wanitaku. putus cintakah aku? soalan itu bermain lagi dalam minda kosongku ini. 

aku diam membeku seperti iceberg tidak berkutik sedikit pun. segala macam perasaan berbaur dalam hatiku. rindu, marah, kecewa segalanya bercampur menjadi satu. aku sendiri bingung. sesekali hati ini masih mencari akan dirinya. masih menanti akan panggilan telefonnya. masih menanti mesej pesanan ringkas darinya. tapi, hampa. mungkin aku lupa sudah. semua ini permainan dunia sahaja. aku? apakah aku bagi dia?  mengapa semuanya tidak berakhir seperti yang aku impikan. seperti angan-angan tidak jadi. dan aku sekarang takut untuk bergantung harap lagi.

apakah segalanya salah aku? kerana mencintai engkau dalam diam. dan mengharapkan engkau menjadi suri hatiku hingga akhir hayatku. salah akukah? aku tidak dapat menangkis dan mengelak daripada perasaan itu. tapi, aku cuma berharap sekarang agar Tuhan tarik semula perasaan yang aku ada untuk engkau. supaya aku tidak sengsara secara batiniah. 

sungguh. aku akui, aku masih mencintaimu dari jauh. merinduimu kala musim berganti. mencari akan dirimu saat aku keseorangan. kerana ingatanku masih kukuh terhadap kenangan kita. seandainya, aku boelh membuang setiap kenangan kita. akanku lakukannya. tetapi apakan daya, aku belum dapat menggantikan kenangan kita dengan lembaran yang baru. setiap yang terjadi antara kita, sangat memberi makna dan kesan kepada aku. jika sahaja aku tahu, sakitnya sebuah percintaan. aku tidak menginginkannya. tapi, berikanlah aku sedikit masa untuk menghapuskan engkau dari kotak memori ini. itu sahaja pintaku.

Friday 25 November 2011

hujung minggu

jarum jam menunjukkan angka 3, manakala jarum minit menunjukkan angka 12. huh! penat juga duduk dirumah. aku melepaskan sedikit lelah setelah dari pagi aku membantu emakku didapur. tapi seronoklah juga, sekali-sekali dapat menolong emak mengharumkan masakan didapur. seusai masak, menghidang pula. menu di pagi hari nasi lemak. tengah hari pula, nasi ayam. hmm...terliur aku dibuatnya. jari telunjukku sudah menjilat-jilat masakan emak. kataku mahu merasa, tetapi kata emak, ini sudah mencekik darah ini. habis seisi keluarga tertawa bersama. riuh sebentar rumah yang sedari tadi sunyi dihening pagi.

menghidang makanan. kemudiann, makan bersama. melihat keletah adik-adikku, aku sendiri tersenyum. hilang sekejap bebanan yang menimbun dekat otakku ini. tapi sudah lama juga aku tidak makan bersama-sama seperti ini. duduk makan bersimpuh dan bersila. satu keluarga. terasa macam dahulu kala pula. tapi itulah yang mengeratkan perhubungan antara keluarga. sesekali emakku, berpesan jangan bergaduh depan rezeki. pabila melihatkan adik kecilku berebutkan ayam dibahagian kepak. yang si abang tidak mahu mengalah, mahu juga kepak itu. bukan tiada bahagian ayam yang lain. kasihan melihat adik bongsuku, dia jugalah yang mengalah. sesekali, aku menggelengkan kepalaku. apalah hendak jadi. tapi, budak-budak itulah perangainya dan kerenahnya. macam-macam, ada sahaja yang tidak kena. 

selepas sahaja bersantap bersama keluarga, apa lagi. pinggan mangkuk itu, tidak akan bersih sendiri. maka, dengan rasa besar hatinya, aku pun mengemas hidangan tadi. pinggan mangkuk kotor kusumbatkan kedalam perut sinki yang kosong. ambik kau! sinki itu tidak cukup besar. ada pinggan mangkuk yang diletakkan dilantai dapur bersebelahan dengan sinki. berderet, berbaris. menanti masa untuk membersihkan diri mereka. sekali lagi, aku menyingsing lengan baju, lagaknya seperti orang mahu mencari fasal untuk bergaduh. bergaduh dengan apa? dengan pinggan mangkuk tadilah. dapur itu mulalah riuh dengan bunyi air paip disinki. sesekali pinggan yang berlaga dengan cincin yang tersarung dijari manisku. 

kalau sudah penat rehat dulu, ma. satu suara tua memecah kesungguhanku untuk membasuh pinggan kotor itu. aku kenal benar dengan suara itu. masakan tidak, itulah suara emakku yang dari dalam perutnya lagi sudah kudengar suara itu. aku mengilas sebentar, melemparkan senyum dan menjawab bersahaja, sikit sahaja lagi nie,mak. kemudian, aku menyambung kembali tugasku yang tergendala sebentar tadi. sempat aku melirik emak dengan ekor mataku, emak tersenyum lagi. barangkali seronok anak dirantauan pulang kekampung. bercuti panjang pula. 

suara emak kedengaran lagi, 'Ima, engkau punya study macam mana? okay?' aku tergelak kecil. ingatkan mahu bertanya apalah agaknya. aku mengangguk sebelum membuka bicara lebih panjang lebar. dari awal semester ini sehinggalah hujung semester. berbicara juga tentang semester hadapan yang bakal aku lalui sebagai seorang pelajar siswazah. gementar juga sesekali bercerita tentang itu. mungkin juga kerana belum cukup persediaan dari segi zahir dan batin. emakku juga tahu, keadaan aku ini bagaimana. tetapi, jika itu kehendak syllybus Institut Pendidikan Guru. emakku turutkan sahaja. cuma suara tuanya itu berpesan agar jangan lupa mengambil langkah berjaga-jaga sebelum keadaan semakin teruk. ucapan 'ya' dari bibir tipisku, meredakan sedikit keresahan dihati kecilnya. aku hanya meminta supaya emak sentiasa mengiringi aku dengan doa ibunya. 

setelah setiap tugas itu dilaksanakan. derapan kakiku menuju kekamar tidurku. mencari ruang untuk berehat seketika. aku merebahkan diri keatas tilam empukku. bebear berwarna merah jambu aku capai disudut katil. aku memeluknya erat. dalam tidak sampai beberapa minit, kelopak mataku sudah tertutup rapat. barangkali keletihan sedikit hari ini. lenanya aku dibuai mimpi-mimpi indah bersama cuaca yang nyaman ini. hujan. sesekali tubuhku meringkuk. mencapai comforter ingin memanaskan badanku. tidurku tidak diganggu walaupun suara adik-adikku di ruang tamu itu, serta bunyi guruh yang sedari tadi berdentam dentum. lena sekali.

                                       = = = = = = = = = = = = = = = = = = = = = = = = =


luka berdarah lagi

aku bukan mencari kontroversi. aku bukan mencari publisiti. aku sekadar meluahkan isi hati. sekadar berkongsi rasa dalam diri. maafkan andai ada yang terguris hati. aku hanya ingin menghadam setiap tuntutan ilahi. aku hanya ingin mencerna setiap yang terjadi. aku menyebut namamu dalam rinduku. aku mengingati dirimu dalam tidurku. aku mendoakanmu dalam sujud hariku. maafkan aku kerana masih mengangankan dirimu. maafkan aku kerana masih mengharapkanmu. entah kenapa aku menjadi seperti. bagai bahtera yang dilanda badai. segala tenggelam bersama bahtera itu.

maafkan aku kerana tidak dapat untuk menunaikan janjiku kepadamu. aku pergi tanpa kau tahu. maafkan aku. apakah engkau akan mencari aku? atau engkau juga merelakan segalanya? bukan aku mengundur diri kerana rela. tetapi kerana keadaan memaksa aku melupakan engkau untuk selamanya. apa pun yang telah engkau lakukan pada aku. telah aku lupakan. telah aku maafkan. setiap yang terjadi diantara kita adalah kenangan yang terindah antara engkau dan aku. mungkin segalanya atas silap aku sendiri. 

walau bagaimanapun, aku gembira kerana dipertemukan dengan engkau. engkau manusia yang terbaik pernah aku jumpa. walau apa pun yang terjadi antara kita, akan aku titipkan kenagan itu dalam sanubariku. aku disini sentiasa akan mendoakan kebahagiaanmu dunia dan akhirat. aku akan selalu mengirimkan kerinduanku melalui angin yang lalu, terbang tinggi dalam keluasan langit biru. aku akan selalu menyebut namamu, melontarkannya melalui ombak yang bergelora. 


Wednesday 9 November 2011

pelangi rindu

mataku terhenti meliar
mencari kekuatan dalam diri
ada ketikanya aku rebah sendiri
adakalanya aku menangis sendiri

merinduimu bagaikan satu penyiksaan
menyayangimu bagaikan satu kesakitan
entah kenapa ini semua harus berlaku
aku sendiri kurang pasti
aku sendiri bingung

aku masih menanti
menanti akan dirimu
masihkah ada ruang
untuk aku mengisi
segenap kesunyian hatimu itu


aku tertanya
masihkah kau ingat?
kisah kau dan aku
engkau kirimkan sekuntum mawar merah
mengungkapkan segala belenggu difikiranmu

masihkah kau ingat?
tika aku dan engkau
menguntum senyum dan berbalas renungan
terasa panas darah ini mengalir
menghidupkan suasana hening

barangkali aku sahaja
yang masih menagih kasih darimu
sedangkan engkau mungkin
sudah terleka dengan permainan duniawi ini

aku masih mengharap
akan ada ruang sekali lagi
untuk kau dan aku bersama
walau untuk seketika cuma.

Thursday 27 October 2011

Mutiara Jernih

mentari sudah menegak dikepala. bulan sudah hilang terlindung disebalik mentari. embun pagi sudah tersejat. hari yang gelap sudah bertukar cerah. dari malam sudah berganti siang. dari semalam sudah berganti hari ini. segala yang berlaku tidak mungkin akan berulang kembali. tidak mungkin akan dapat menghentikannya. setiap yang telah berlaku itu, telah tertulis jalan ceritanya di atas sana oleh Maha Pencipta. segalanya tersusun rapi. kemas. hanya, sesekali kita manusia biasa tidak sedar. selalu menidakkan yang telah ditakdirkan. sesungguhnya, Dia Maha Tahu atas setiap kehendak hamba-hamba-Nya. bukankah Dia yang memegang hati kita? bukankah Dia yang memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendakinya? tapi, siapakah kita untuk menentang setiap yang telah dijanjikan oleh-Nya. apakah kuasamu menentang Allah Taala yang Maha Besar?

aku bukan nabi yang terbela dari segala binasa. aku bukan malaikat yang cukup sempurna sifatnya. aku hanya manusia biasa yang selalu alpa atas keindahan dunia. aku akui aku manusia yang baik, tapi tidaklah sebaik malaikat yang sujud dan zikirnya hanya kepada Allah. aku akui aku pernah melakukan kesilapan, tetapi aku bukanlah seperti syaitan yang direjam itu. aku seorang insan kamil. sekadar mencari semula diri aku. siapa aku? mengapakah aku dilahirkan kedunia ini? jika bukan untuk beribadat hanya kepada Allah Taala. 

aku masih mencari. mencari sinar yang menyuluh kegelapan. mencari sinar yang menghentikan permusuhan. mencari sinar yang menghilangkan dendam. aku berjalan diatas dunia ini, bukan sekadar menikmati keindahannya yang hanya sementara. aku perlu sedar. dunia ini ibarat titian, jambatan serta bekalan untuk menempuh hari akhirat. segala yang terjadi disini, akan dihisab disana. kampung yang abadi. 

namun, aku tidak mengangguk bahawa aku juga terperangkap dalam pukat dunia. dan terasa amat sukar untuk meloloskan diri dari pukat itu. mungkin kerana hasutan dan pujukan hawa nafsu tanpa menilai dengan adil oleh penghakim akal. sedangkan sudah ramai orang dihadapanku, menjadi mangsa hawa nafsu mereka. tetapi aku masih membutakan mata dan hati. menganggap perkara itu norma kehidupan. seharusnya, aku berhenti disini. kembali pada yang utama dan asas. siapa aku didunia ini? 

bila aku bertanya pada hati kecil ini. aku menemui sedikit jawapannya. aku hanyalah hamba kepada-Nya. perlu rukuk dan sujud kepada-Nya. dengan sebenar-benar rukuk dan sujud. bila aku bertanya kepada 'master mind' aku mendapat jawapannya. wahai manusia, engkau tidak dijadikan didunia ini untuk suka-suka. tetapi untuk beribadat kepada-Ku. jawapan ini, pernah memasuki alat pendengaranku ketika usia aku 13 tahun. saat aku menghadiri forum maghrib. otakku ligat berfikir. apa yang telah aku lakukan seumur hidupku? selama 19 tahun? apakah tanggungjawabku sebagai hamba-Nya telah aku laksanakan dengan sebaik-baiknya? 

sebutir mutiara jernih meluncur laju membasahi pipi gebuku. sungguh aku menginsafi diri. segala yang aku lakukan itu, sesekali aku melanggar peraturan dan undang-undang-Nya. sesungguhnya, setiap peraturan dan undang-undang itu telah ditulis oleh-Nya kerana Dia Maha Mengetahui, apakah yang terbaik untuk hamba-hambanya. cuma aku, sebagai hamba-Nya. tidak sedar akan setiap lakuan itu. kerana terlalu asyik dengan ombak dunia yang selalu melemaskan aku dalam lautannya. sehingga aku tidak sedarkan diri dan hanyut dibawa angin laut dunia yang entah kemana. yang pasti ke lembah yang dilarang oleh-Nya. Astaghfirullahalazim.  aku memohon keampunan. sebenar-benar keampunan dari-Mu. kerana aku masih lagi ingin memasuki Jannah-Mu bersama-sama kekasih-kekasih-Mu.

Sunday 23 October 2011

ketenangan

aku melontar pandangan jauh. merenung kosong air yang tenang dihadapanku. angin bayu lembut meniup, menghilangkan sesak difikiranku. kicauan burung sesekali memberi ketenangan sanubari untukku. SubhanaAllah. maha suci Allah. indah sungguh setiap ciptaan-Nya. Alhamdullilah. syukur aku kerana masih lagi aku diberi kesempatan untuk menghirup udara segar ini. terasa damai sekali menatap keindahan Ilahi. terasa tenang menusuk kekalbuku.

segala kekusutanku, terbang ditiup angin petang. segala rinduku hilang ditelan lembayung petang. mataku meliar. melihat anak-anak kecil yang berlari dan bermain. sungguh bebas dan gembira. mereka tidak perlu memikirkan apa-apa. hidupnya penuh kebebasan dan kegembiraan. sesekali aku tergelak kecil melihat keletah anak-anak kecil itu. sikap mereka sesekali mencuit perasaanku. terubat hatiku yang terluka. hilang segala dendam kesumatku melihat kerenah mereka. 

aku merindui zaman-zaman itu. zaman dimana aku berlari sepuas-puasnya. zaman aku bergelak sewenang-wenangnya. seronok sekali apabila mengenangkan pengalaman itu. masih aku teringat lagi saat aku cuba memanjat pokok mempelam semata-semata untuk memetik pelam. tiba-tiba kakiku tergelincir. Dummm!! lalu badanku tehempas ketanah. adoiii!!! aku menjerit kesakitan. kemudian, emakku datang melihat keadaanku. bukan simpati yang aku peroleh, malah bebelan yang aku terima. "Hah, tuh lah, mak dah cakap tak payah panjat, nak panjat jugak. lain kali panjat lagi tinggi." suara emakku menyambut aku yang jatuh tadi. namun begitu, kasih seorang ibu itu terlihat, apabila emak mencempung aku hingga keruang tamu. aku menangis semahu-mahunya. mananya tidak, sakit sungguh badan belakang aku. tak tertahan rasanya. 

bukan itu sahaja. aku masih teringat lagi, zaman anak kecilku. selalu sahaja bergaduh dengan kakakku. kadang-kadang bila teringat kembali, menimbulkan tawaku sendiri. masakan hanya kerana air kotak sahaja, sampai bergaduh, bertarik rambut segala. tapi itulah yang seronok. hanya kerana kakakku meneguk air itu tidak sampai 5ml, aku sudah menangis bagai tangan ditoreh pisau. meraung tidak tentu fasal. pabila terkenang saat-saat itu, timbul rinduku pada mereka. sungguh aku merindu mereka. cuma terlalu sukar untukku meluahkan perasaan itu. perasaan itu hanya berlegar dalam fikiranku sahaja. agak sukar untukku meluahkannya. mungkin kerana perbezaan masa sekarang menjadikan aku begini. lebih banyak mendiamkan diri dan menyendiri dari mereka. Ya Allah, gantikanlah kerinduan ini dengan limpahan kasih dan sayang-Mu. pelihara dan jagalah mereka seperti mana mereka menjaga aku sejak aku kecil. aku mengakhirinya dengan menekup kedua tapak tanganku kewajah kudusku.

Thursday 20 October 2011

Aku

sesekali aku menjenguk di luar kekisi kamarku. melihat burung-burung bebas berterbangan. sesekali aku merenung kosong. terlalu jauh. nun disudut hatiku tersimpan perasaan rindu yang teramat sangat. aku memejamkan mataku. mencari kekuatan disebalik pejaman itu. aku mendongak melihat langit. matahari sudah mencecah kekaki langit. langit juga sudah berubah warna. burung-burung juga telah mula mencari sarangnya. namun aku, masih lagi tidak berganjak. masih menongkat dagu. berfikir. 

aku memandang sepi telefon bimbitku. seharian telefon itu kering dengan deringan. panggilan dan mesej pesanan ringkas darinya langsung aku tak terima. sibuk sangatkah dia, sampai tidak menyempat hendak bertanya khabar pada aku? aku bermonolog sendirian. apakah ucapan sayang dari dia itu hanya mainan bibir sahaja atau kata-kata manis seorang lelaki pada gadis. aku sendiri keliru dengan semua ini. apakah dia tidak tahu apa yang bermain dibenak fikiranku sekarang? aku masih menanti dia. terus-terusan menantinya. 

apakah aku boneka buatnya. bila senang tinggalkan aku, bila susah mencari aku. apakah aku ini sekadar sebuah permainan buat dia? hati aku sering bertanya-tanya. aku tidak tahu dimana noktahnya nanti perhubungan ini. aku sendiri penat dengan keadaan seperti ini. bagai menanti bulan jatuh keriba. bagai pungguk merindukan bulan. semuanya mustahil untuk menjadi realiti. terlalu sukar. 

aku hanya manusia biasa. sesekali aku juga memerlukan sebidang dada untuk aku berlindung. bahu untuk aku menumpang kasih dan tangis. tangan untuk aku berpaut. tapi dimana semua itu. saat aku benar-benar memerlukannya. dia tiada disisi. untuk aku berteduh dari panas dan hujan. dari segala bencana. dimana dia? hati kecilku merintih sakit. kadang-kadang aku benci dengan sikapnya yang langsung tidak ambil peduli tentang aku. sedangkan bibirnya seringkali mengungkap sayang padaku. tapi buktinya? tiada. aku lelah dengan semua ini. Tuhan, bantu aku. apa yang harus aku lakukan kini. apakah aku masih perlu untuk menanti kaum Adam yang sepertinya.





Wednesday 19 October 2011

dia

triitttt....trittttt....getaran telefon bimbitku mengejutkan aku. lantas tangan aku mencapai dan mencari telefon bimbitku. mesej pesanan ringkas aku terima. hampir gugur jantung aku melihat namanya terpapar diskrin telefon bimbitku. saat aku mula menelan rasa pahit ubat itu, saat itu dia hadir memberi gula-gula. saat aku sudah merasa hambar atas perhubungan ini, saat itu dia mengungkapkan rindu. saat aku sudah menerima ketentuan ilahi yang sudah tertulis di luh mahfuz. saat itu dia datang memberi kekuatan. entah kenapa aku boleh memaafkan dirinya, walau terlalu banyak hati ini tergores kerana sikapnya. terlalu banyak menangis hati ini kerana kata-katanya. aku keliru. buntu. kaku. aku masih tidak mampu untuk melupakannya. terlalu sukar. aku tahu tidak salah untuk mencintai, tetapi mencintai orang yang salah adalah salah. itu aku tahu. tapi entah kenapa hati ini selalu mencari dia. hati ini selalu menyebut namanya. 

lantas tangan aku menekan butang 'reply'. aku terlalu merinduinya. saja aku mengungkapkannya dalam mesej pesanan ringkas itu. namun, aku tahu rindu itu tidak akan terbalas. kalau tidak kerana kesusahan masakan dia akan menghubungiku apatah lagi mengingatiku. saat dia susah, saat dia terjelapuk ditanah, baru kelibatnya aku nampak. tapi, entah yang keberapa kali dia perlakukan aku begini. aku tidak pasti. tapi aku sendiri tidak tahu. kenapa hati ini masih ada rasa kasih dan sayang padanya. sukar untuk meletakkan benci padanya. aku sendiri menjadi keliru dalam melayani perasaan aku. janji. ya, mungkin itulah sebabnya. mungkin kerana janji yang telah aku metrai dahulu. tidak akan pernah meninggalkannya. itu janji yang pernah aku ungkapkan. mungkin kerana aku terikat pada janji itu. 

betapa bodohnya aku. berjanji pada yang tak pasti. menagih pada yang tak sudi. kasih dan sayang aku tidak pernah ada nilainya buat dia. dan aku? masih mengharap? apa jenis manusia lah aku ini. sejauh manapun, aku memikirkan perhubungan ini, aku tahu tidak akan ada pengakhiran yang bahagia buat aku dan dia. tapi aku masih mengharapkan keajaiban berlaku. aku berteleku dibirai katil. jendela kamarku dibiar terbuka. memberi izin angin bayu meniup dingin kedalam ruang kamarku. dalam lemah, aku meraup mukaku. mencari kekuatan semula. tanpa sedar mutiara jernih membasahi pipi mulusku. bukan tanda aku lemah dan bukan juga tanda aku mengalah. tetapi aku ingin mencari diri aku semula. dimana seharusnya aku berada.Ya Allah, andai benarlah dia adalah milikku, kau satukanlah kami dibawah hidaya-Mu, dan peliharalah hubungan itu dengan rahmat-Mu. namun andai dia tidak akan menjadi imamku, hilangkanlah perasaan ini dibawah petunjuk-Mu. hadirkan seseorang yang benar-benar boleh memimpin aku untuk memasuki Jannah-Mu. hadirkanlah seseorang yang boleh menggantikan dia dalam menyambut perasaanku ini. hanya ini yang mampu aku lakukan. tiada tempat selain Dia untuk aku meminta dan mengadu. sesungguhnya, Dia adalah perawat segala penyakit.

Saturday 15 October 2011

kitab hati

aku mendongak langit yang semakin kelam
matahari sudah mula mengorak langkah pergi
angin sepoi-sepoi bahasa meniup lembut rambutku
menyedarkan aku keindahan Ilahi
walau hati ini telah banyak kali engkau lukai
tapi aku setia menanti
kerana cinta aku terlalu suci

tapi itu semua dulu
satu fantasi yang tak akan menjadi
kerana aku terlalu
sakit untuk menerima hakikat
perit untuk menerima kebenaran
aku terlalu lemah
untuk mengorak langkah lagi
dalam melihat dunia ini

aku terlalu leka dalam melayani perasaan aku
aku terlalu ujub dalam mengagungkan cintaku kepadamu
sedangkan aku tahu siapa pemberi cinta itu
dan sesungguhnya aku
perlu meletakkan Dia yang pertama
di hatiku
untuk aku mengecap kebahagiaan dunia dan akhirat

aku juga bukan malaikat
sesekali aku alpa dalam buaian permainan dunia
sesekali aku termakan pujukan hawa nafsu yang berteraskan syaitan
dan kini
kala cinta dan wahyu bersatu
aku ingin kembali
mencium bau syurga-Nya

wasilah cinta-Nya
telah aku baca
telah aku fahami
setiap kalam tulisannya
telah aku amati
sesungguhnya aku bersyukur
kerana masih ada peluang untukku
dalam melayari bahtera kehidupan ini
yang penuh dengan ombak dan duri
yang aku tidak duga

namun,
hati aku cuma satu
segalanya bertapak disini
aku bermohon pada-Mu
yang memegang hati hamba-hamba-Mu
semoga Engkau masih ingin memberi hidayah
semoga Engkau masih mahu menyuluh
semoga Engkau masih mahu memegang
hati aku yang masih gelap ini
hati aku yang masih ragu-ragu ini
sesungguhnya, Engkau maha mengetahui
apa yang tersurat dan tersirat dalam kehidupan
hamba-hamba-Mu

Wednesday 12 October 2011

biarlah

aku masih menanti kalamnya,
aku masih mencari sinar matanya,
aku masih mengharap akan kasihnya,
aku masih mencari dirinya.

entah..
untuk yang keberapa kalinya
aku terluka
aku sengsara
aku menangis
kerana aku mencari dia,
tetapi yang kutemui hanyalah rindu
dan sebenarnya ia adalah sangat menyakitkan.

benarlah..
seharusnya..
aku berhenti disini,
jangan menagih pada yang tak pasti
sedangkan Ilahi tahu apa untukku kini.

Ya Allah..
aku menyerahkan segalanya hanya pada Engkau
keranan Engkau Maha Tahu tentang yang silam dan hadapan
aku hanya  pasrah dalam bersujud padaMu
aku hanya mampu berbicara padaMu
andai benarlah dia milikku,
satukan lah aku bersamanya dalam sinar hidayahMu
biarkanlah aku hidup bersamanya dalam lembayung inayahMu
namun..andai dia bukan untuk aku miliki
lepaskan lah dia dari hatiku
atas keredhaanku kepadaMu.