Sunday 23 October 2011

ketenangan

aku melontar pandangan jauh. merenung kosong air yang tenang dihadapanku. angin bayu lembut meniup, menghilangkan sesak difikiranku. kicauan burung sesekali memberi ketenangan sanubari untukku. SubhanaAllah. maha suci Allah. indah sungguh setiap ciptaan-Nya. Alhamdullilah. syukur aku kerana masih lagi aku diberi kesempatan untuk menghirup udara segar ini. terasa damai sekali menatap keindahan Ilahi. terasa tenang menusuk kekalbuku.

segala kekusutanku, terbang ditiup angin petang. segala rinduku hilang ditelan lembayung petang. mataku meliar. melihat anak-anak kecil yang berlari dan bermain. sungguh bebas dan gembira. mereka tidak perlu memikirkan apa-apa. hidupnya penuh kebebasan dan kegembiraan. sesekali aku tergelak kecil melihat keletah anak-anak kecil itu. sikap mereka sesekali mencuit perasaanku. terubat hatiku yang terluka. hilang segala dendam kesumatku melihat kerenah mereka. 

aku merindui zaman-zaman itu. zaman dimana aku berlari sepuas-puasnya. zaman aku bergelak sewenang-wenangnya. seronok sekali apabila mengenangkan pengalaman itu. masih aku teringat lagi saat aku cuba memanjat pokok mempelam semata-semata untuk memetik pelam. tiba-tiba kakiku tergelincir. Dummm!! lalu badanku tehempas ketanah. adoiii!!! aku menjerit kesakitan. kemudian, emakku datang melihat keadaanku. bukan simpati yang aku peroleh, malah bebelan yang aku terima. "Hah, tuh lah, mak dah cakap tak payah panjat, nak panjat jugak. lain kali panjat lagi tinggi." suara emakku menyambut aku yang jatuh tadi. namun begitu, kasih seorang ibu itu terlihat, apabila emak mencempung aku hingga keruang tamu. aku menangis semahu-mahunya. mananya tidak, sakit sungguh badan belakang aku. tak tertahan rasanya. 

bukan itu sahaja. aku masih teringat lagi, zaman anak kecilku. selalu sahaja bergaduh dengan kakakku. kadang-kadang bila teringat kembali, menimbulkan tawaku sendiri. masakan hanya kerana air kotak sahaja, sampai bergaduh, bertarik rambut segala. tapi itulah yang seronok. hanya kerana kakakku meneguk air itu tidak sampai 5ml, aku sudah menangis bagai tangan ditoreh pisau. meraung tidak tentu fasal. pabila terkenang saat-saat itu, timbul rinduku pada mereka. sungguh aku merindu mereka. cuma terlalu sukar untukku meluahkan perasaan itu. perasaan itu hanya berlegar dalam fikiranku sahaja. agak sukar untukku meluahkannya. mungkin kerana perbezaan masa sekarang menjadikan aku begini. lebih banyak mendiamkan diri dan menyendiri dari mereka. Ya Allah, gantikanlah kerinduan ini dengan limpahan kasih dan sayang-Mu. pelihara dan jagalah mereka seperti mana mereka menjaga aku sejak aku kecil. aku mengakhirinya dengan menekup kedua tapak tanganku kewajah kudusku.

No comments:

Post a Comment