Wednesday 14 December 2011

perahu dunia



aku melontar pandang jauh diluar jendela. mataku tidak berkelip laju. memandang sepi titisan-titisan air hujan yang sudah mula membasahi perut bumi. jarum jam tepat menunjukkan pukul 12.00 tengah hari. tapi hujan, tiada tanda-tanda untuk berhenti. semakin lebat pula. hampir sama juga keadaannya dengan hatiku ini. terlalu dingin sedingin salju. susah hendak digambarkan apatah lagi mahu dibicarakan.

entah kenapa. mutakhir ini, ada sahaja perkara yang terjadi. mengakibatkan kepalaku juga turut berserabut. barangkali kerana terlalu memikirkannya. ataupun kerana aku sendiri tiada masa untuk melapangkan fikiran. apa yang telah terjadi untuk beberapa hari ini. benar-benar mengejutkan perasaan nurani wanitaku. tersentap dan kaget dengan apa yang terjadi. lidah ini kelu dalam memberikan kata-kata. tidak tahu apa yang sebenarnya telah terjadi. tetapi, aku kuatkan hati. tabahkan semangat.

bukan mahu mengaibkan sesiapa. tetapi cerita ini aku mahu jadikan iktibar kepada yang lainnya. kisah seorang wanita yang hilang 'mahkota sucinya'. bukan kerana keterpaksaan. tetapi kerana rela hatinya. jika dilihat dan dihitung kira, apakah pandangan kamu semua terhadap wanita ini? mahukah anda mengabaikannya? mungkin ada diantara kamu beranggapan bahawa perempuan ini tiada harga diri, kerana itulah dia boleh terjebak dalam perkara ini. mungkin juga akan ada yang berbicara seperti ini, perempuan zaman sekarang. memang sudah tidak ada perasaan malu. hendak dibuat bagaimana lagi.

bila perkara tidak terjadi kepada batang hidung sendiri, kita akan mudah untuk berkata-kata. sewenang-wenangnya kita akan menghamburkan kata-kata yang barangkali menyakiti hati wanita itu. pernahkah kita fikir, jika kita menyakiti hati yang lainnya. maka ia juga akan dianggap berdosa? berbalik kepada kisah tauladan ini. memang benarlah kata orang tua-tua. jika mahu berbau wangi mengapa tidak berkawan dengan si penjual minyak wangi? tetapi seandainya, kita asyik mahu berkawan dengan penjual minyak wangi sahaja, bagaimana dengan si pembuat tembaga? siapa yang mahu mendekatinya jika semua mahu bersama penjual minyak wangi? begitulah ibaratnya. jika tiada siapa yang mahu menyedarkan wanita itu, siapa lagi?

maka layakkah kita hendak menilai seseorang itu terhadap apa yang telah dikerjakannya. memang sudah terang lagi bersuluh bahawa berzina itu berdosa besar. tetapi berkawan dengan penzina untuk mengajaknya kembali kejalan yang benar, apakah dikira berdosa juga? niat aku, hanya mahu bercerita dan berkongsi pendapat. bukan mahu mencari permusuhan dan perbalahan. apakah salah jika kita mendekatinya untuk memberikan sokongan hidup? sudahlah diabaikan oleh keluarga, juga disisihkan oleh masyarakat. maka, kepada siapa lagi dia mahu merujuk jika bukan kenalan-kenalannya.

aku tahu, dia sudah dipandang hina dan dipandang serong. tetapi jika dia tiada hala tuju hidupnya. dan bertanya kepada kamu apa yang harus dilakukan saat ini? apakah kamu akan melarikan diri? kerana apa? kerana dirinya sudah kotor? kerana dirinya tidak sesuci kamu? bagi aku, tidak ada salahnya jika kita membantu dia untuk berubah. benar kita tidak boleh mengembalikan keadaan yang dahulu. tetapi untuk menjalani hari esok, hari ini adalah pengajarannya. tidakkah engkau semua terfikir seperti itu? kerana ada orang sepertinya ia menjadi iktibar kepada kita. dan menjadi kesedaran kepada kita untuk terus berada dalam landasan yang benar.

hanya mahu dikatakan disini. setiap apa yang terjadi pasti sudah ada sebab dan musababnya. apa yang terjadi ini ambillah ia sebagai tauladan untuk kita meneruskan hari esok. ambillah ia untuk kita membuka mata dan minda kita tentang halal dan haramnya. tentang dosa dan pahalanya. tentang syurga dan nerakanya. mungkin juga yang terjadi pada dirinya itu memberi pengajaran untuk aku. yang sesekali leka dan khayal oleh arus dunia. bukan aku mahu kata, aku ini malaikat. membantu sesiapa sahaja yang memerlukan. hendak menunjuk yang aku ini punya kebaikan yang tiada siapa pun milikinya. bukan kerana itu. aku menjadi seperti ini kerana sifat ihsan aku sebagai seorang kawan. hari ini hari dia. jika suatu hari nanti hari kita? siapa yang mahu membantu?

hidup ini ada karmanya. kerana dunia ini bulat. dimana anda berada, anda akan kembali pada yang asalnya. aku bukanlah orang yang kuat agamanya. sesekali aku juga termakan hawa nafsunya. tetapi aku sengaja mahu menyedarkan diri aku dan yang lainnya dengan menulis entri ini. untuk sama-sama kita fikirkan. dimanakah kita sebenarnya? jalan yang mana kita pilih sebenarnya? apakah kita juga sudah tergelincir dari landasan-Nya?

oleh kerana, perkara ini sudah terjadi. tidak boleh berputar kembali. kerana nasi sudah menjadi bubur. kerana itu, aku berfikir selalu. jika perkara seperti ini sudah berlaku. masing-masing mahu lepas tangan. saat gembira mahu sama-sama. bila sudah jadi. saling menuduh antara satu sama lain. yang si lelaki tuduh wanitanya. yang si wanita tuduh lelakinya. jika difikirkan kembali siapa yang salah sebenarnya, lelaki ataupun perempuan? bagi aku, kedua-duanya salah. kerana apa? ia bermula dengan akal dan nafsu. jika kedua-duanya tidak menggunakan akal dalam sesuatu perhubungan itu, maka beginilah jadinya. kerana akallah yang menetapkan segala perlakuan kita. kerana akallah yang akan menjadikan kita teguh berdiri dengan akidah kita. tetapi jika nafsu yang mengawal akal, maka setiap perkara yang ditegah oleh Allah itu akan kita laksanakan.

jadi untuk berubah itu, aku tahu tidak mudah. seperti ejaannya. B E R U B A H. aku tahu. ia memakan masa yang agak panjang untuk mendapat hasilnya. tetapi jika percaya yang kita mampu, maka hasilnya itu akan ada. seperti kita percaya pada kewujudan angin. pernahkah anda melihat angin? tidak pernahkan. tetapi anda dapat merasainya. dan paling penting anda percaya pada kewujudan angin tersebut. begitu jugalah konsepnya, jika anda mahukan sesuatu perubahan itu. percaya pada diri sendiri. bahawa engkau boleh berubah kepada yang lebih baik. maka akan ada hasilnya nanti. percaya jugalah kepada pencipta alam ini, yang sentiasa akan membantu hamba-hambaNya dalam membina kebaikan. insya Allah. segalanya akan berubah kerana perubahan itu bermula dari dalam diri sendiri. tidak siapa dapat membantunya. hanya dapat memberi sokongan dan nasihat sahaja. tetapi jika engkau sendiri tidak sertakannya dengan tindakan ia tidak akan ada hasilnya. samalah juga konsepnya seperti pohon yang berbuah. jika engkau mahu pokok itu berbuah, tetapi engkau tidak menjaganya dengan baik seperti menggemburkan tanahnya sekali-sekala, menabur baja serta menyiramnya. maka tidak akan ada hasilnya.

bukan mahu mengkritik dan mengutuk sesiapa. tetapi untuk menjadikan sesuatu kebaikan itu dalam diri kita sememangnya sukar. aku sendiri mengakuinya. tetapi jika kebaikan tidak mengatasi keburukan itu. maka perubahan itu tidak akan berlaku. sekadar berniat untuk berubah, tetapi tidak dengan tindakannya juga tiada gunanya. oleh itu, bermulalah dari yang kecil, barulah kita mahu melihat perubahan yang lebih besar. bila kita sudah ada keinsafan dan kesedaran itu juga akan membantu kita dalam proses untuk berubah. itulah yang dikatakan bermula dari yang kecil. percaya pada diri dan yakin pada Allah. sesungguhnya, tiada apa yang dapat menandingi kekuasaanNya. jika Allah kata jadi, maka jadilah ia.

3 comments:

  1. jadi untuk berubah itu, aku tahu tidak mudah. seperti ejaannya. B E R U B A H. aku tahu. ia memakan masa yang agak panjang untuk mendapat hasilnya. tetapi jika percaya yang kita mampu, maka hasilnya itu akan ada

    ReplyDelete
  2. haha. mengapa menyalin semula?

    ReplyDelete